Nama Saintifik STEVIA
Stevia atau "sweet honey leaf" adalah salah satu daripada 240 spesies herba daripada keluarga bunga matahari (Astereacea). Ianya juga dikenali sebagai "POKOK GULA" banyak terdapat di kawasan subtropika dan tropika, selatan Amerika dan Amerika tengah. Namun, stevia yang biasa digunakan sebagai pemanis ialah daripada spesies rebaudiana. Spesis stevia rebaudiana bertoni dikenali sebagai daun manis, daun gula dan yang paling senang disebut adalah stevia.
Stevia Rebaudiana ini adalah herba renek yang berasal dari Paraguay. Nama saintifiknya itu bukan saja indah pada nama tetapi unik kerana khasiat daunnya yang dihasilkan boleh menggantikan gula. Rasa manis yang terhasil daripada daun tumbuhan ini dikatakan telah digunakan oleh masyarakat peribumi Paraguay dan Brazil sebagai pemanis minuman, makanan dan ubat-ubatan sejak ratusan tahun lalu. Penggunaan pertamanya direkodkan saintis, Antonio Bertoni, di Paraguay
pada 1887.
Bagaimana Rasa Manis STEVIA?
Sebagai pemanis atau substitut gula, rasa manisnya tahan lebih lama berbanding gula, walaubagaimanapun ekstrak stevia akan memberi sedikit rasa pahit dalam kepekatan yang tinggi. Dengan ekstraknya mempunyai rasa manis bermula dari 150 hingga 500 kali ganda mengikut gred dan kepekatannya, ianya sesuai dengan permintaan penduduk dunia hari ini yang memerlukan pemanis atau gula rendah karbohidrat dan kalori sifar.
Bagaimana STEVIA Boleh Rasa Manis?
Bahan aktif yang bertanggungjawab ke atas rasa manis pada daun stevia dikenali sebagai steviol glycosides yang mengandungi stevioside dan rebaudioside. Bahan aktif ini stabil pada suhu tinggi, nilai pH yang stabil dan tidak merangsang tindak balas glycemic, menjadikan ia semakin digemari orang ramai terutamanya untuk yang ingin menghadkan pengambilan karbohidrat dan mengelakkan diabetes. Selain itu, stevia juga didapati boleh merawat tekanan darah tinggi, mengurangkan tahap asid urik dan obesiti.
Di Mana STEVIA Mula Digunakan Sebagai Pemanis?
Stevia telah digunakan sebagai pemanis semulajadi oleh masyarakat di Brazil dan Paraguay sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Ia mula digunakan oleh kaum Red Indian Guarani di Paraguay sejak 1500 tahun yang silam. Ia digunakan terutamanya untuk memaniskan teh herba mereka. Selain daripada itu ia juga digunakan untuk memaniskan makanan mereka. Mereka juga menggunakan Stevia sebagai penawar terutamanya untuk menurunkan tekanan darah tinggi, melawaskan kencing dan merawat luka terbakar.
Kegunaan stevia sebagai pemanis mula disedari oleh orang Eropah pada kurun ke-16. Sejak itu, ia mula digunakan dengan meluas di Eropah sehinggalah di bawa ke Asia. Walaubagaimanapun kajian terhadap Stevia hanya mula dilakukan pada awal kurun ke 19 apabila para pengkaji di Brazil mendengar cerita yang sehelai daun stevia boleh memaniskan sebiji buah peria dan juga secawan teh herba yang kelat.
Apakah Ciri Yang Unik Mengenai STEVIA?
Ciri paling unik mengenai Stevia ialah ia merupakan pemanis semula jadi yang tidak mengandungi kalori. Di percayai secara tradisional, stevia mengandungi sifar kalori, lemak, kolestrol, gula dan karbohidrat. Ekstrak stevia dikatakan 300 kali lebih manis dari gula biasa.
Kajian juga mendapati kandungan utama yang menyebabkan ia manis iaitu steviosid tidak mengandungi toksid. Ia juga didapati tidak menyebabkan mutasi sel dan tidak memberi kesan terhadap kesuburan. Ciri ini telah menarik minat para pengkaji untuk menjalankan kajian terhadap Stevia.
Apakah Hasil Kajian Tentang STEVIA?
Satu kajian mendapati ia tidak memberi apa-apa kesan terhadap kesuburan, manakala satu kajian lain mendapati air yang diekstrak daripada daun stevia didapati menurunkan paras testostron dan bilangan sperma bila diuji pada tikus jantan.
Hasil dari kajian ini saintis merumuskan steviosid yang diambil secara oral adalah berkesan untuk menurunkan tekanan darah dan ia mungkin boleh dipertimbangkan sebagai bahan alternatif atau tambahan untuk pesakit darah tinggi.
Ada pendapat menyatakan stevia juga digunakan sebagai tonik untuk jantung dan berfungsi menstabilkan tekanan darah serta degupan jantung.
No comments:
Post a Comment